Bismillahirrahmanirrahim... Alhamdulillahirobbil alamin.. Wassala tu wassala mu'ala asyrafil anbiya iwal mursalin.. Wa 'ala alihi wasohbihi ajmain...
LISTEN! LISTEN! LISTEN! Haha... Saja... Memandangkan 'quote' ini agak popular sekarang. Okeh, mulakan topik.
Kadang-kadang aku berfikir, apa yang aku perlu buat untuk pastikan semua orang percaya dengan apa yang aku cakap, apa yang aku lakukan, apa yang aku percaya, dan apa yang aku pertahankan. Ya, betul. Semua orang mempunyai persepsi yang pelbagai warna. Sememangnya kita tidak punya hak untuk menyekat persepsi itu. Kenapa? SEBAB SEMUA ORANG BEBAS UNTUK BERSUARA. Cuma yang membezakan ialah sama ada suara itu boleh diterima akal atau pun tidak, boleh dijadikan manfaat atau sebaliknya.
Bertitik tolak daripada suara-suara yang tidak terbendung, sesekali disertai dengan niat yang disalah erti. Kadang-kadang niat atau perlakuan yang disalah erti itu sangatlah menyebalkan. Memang. Memandangkan aku seorang yang cepat terasa alias sensitif, banyak perasaan yang bercampur baur apabila situasi ini berlaku. Pada siapa? Tentunya aku. Rasa mahu marah juga ada. Rasa kesal juga ada. Sedih. Semuanya bercampur-baur. Tidak faham kenapa aku perlu disalah erti dalam hal itu. Mungkin cuma sekadar gurauan tapi sedikit sebanyak mungkin boleh membawa kesan yang mengaibkan. Terus terang, aku kurang senang dihakimi sebegitu rupa sedangkan terlalu banyak sisi diriku yang mereka tidak tahu. Apalagi bila berita yang diuar-uarkan sama sekali tidak benar. Jauh panggang dari api. Aku jadi buntu. Memikirkan cara apa yang harus aku lakukan bahawa apa yang aku lakukan ini adalah sepenuhnya atas kesedaran dan kehendak aku sendiri.
Tengah sedih-sedih dan dilema, tiba-tiba teringat apa yang berlaku masa zaman Rasulullah SAW dulu. Hanya kerana ingin menegakkan Islam, menyebarkan agama Allah, Rasulullah dicaci, dimaki, dihina, dan macam-macam lagi. Menggambarkan betapa seksanya Rasulullah itu membuat aku muhasabah diri. Sedangkan Rasulullah kekasih Allah boleh bersabar dan terus teguh dengan agama Allah walaupun diseksa sedemikian rupa, ini kan pula aku, yang sekadar 'direnjis' dengan cerita-cerita yang tidak wujud asal usul kebenarannya. Berfikir. Kalau inilah yang harus aku hadapi untuk memperbaiki diriku, untuk mengubah diriku daripada tidak tahu menjadi tahu, menjadi lebih baik untuk hari ini daripada hari kelmarin, InsyaAllah aku terima semua ini. Moga Allah menguatkan hatiku untuk terus bersabar. Seperti yang ku katakan, orang bebas untuk bersuara, dan biarlah mereka menyuarakan rasa itu. Yang penting, Allah tahu kebenarannya dan ibu ayah sentiasa mendokong tanpa jemu. :)
***
OKEH! Tadi tu ayat saringan semata-mata jak. Benda yang sebenarnya mahu dikongsikan ialah ini.
Aku ingin berkongsi sedikit tentang isi usrah yang baru dihadiri tadi.
'KITA TAHU ISLAM, TAPI TIDAK FAHAM ISLAM'
Inilah kata-kata yang dikongsikan oleh akak naqibah tadi. Jelas menunjukkan apa yang kita hadapi sekarang. Dalam dunia hari ini. Terlalu ramai dalam kalangan kita umat Islam, termasuk aku sendiri yang mengalami masalah ini. Apa yang dimaksudkan dengan tahu tapi tidak faham? Kenapa apabila kita sudah tahu tetapi kita masih tidak faham? Dan apa dia benda yang kita tahu tapi tidak faham itu? Mudahnya, disimpulkan begini semasa usrah tadi.
Kenapa pelajar universiti lulusan Al-Azhar (yang perempuan, tidak semua) yang belajar tentang pelbagai ilmu agama, fiqah dan sebagainya (yakni ustazah-ustazah) yang pulang ke tanah air tapi tidak bertudung? Sedangkan mereka didedahkan dengan pengetahuan agama yang boleh dikira lebih mendalam daripada orang yang biasa-biasa saja.
Kenapa pelajar lulusan universiti di United Kingdom, walaupun mempelajari jurusan yang langsung tidak berkaitan dengan ilmu agama seperti kejuruteraan, perubatan dan sebagainya, pulang dengan imej bertudung labuh?
Berdasarkan contoh ni, boleh nampak kan serba sedikit gambaran ungkapan tu? :)
Kesimpulannya, tahu itu tidak cukup. Kita juga perlu faham akan sesuatu. Sekadar tahu mempelajari ilmu agama yang pelbagai cabang tidak cukup, tetapi perlu juga difahami apa yang dipelajari itu. Kenapa? Sebab bila kita cakap kita tahu, yang menerima sesuatu perkara itu ialah otak kita. Tapi bila kita faham akan sesuatu, InsyaAllah apa yang kita pelajari itu kita tanamkan dalam hati. Kerana yang mengetahui itu ialah OTAK, dan yang memahami itu ialah HATI. :)
Bercakap tentang tahu, aku pernah terfikir, adakah untuk masuk syurga, kita perlu dapatkan pengetahuan agama yang sangat luas seperti ilmuwan-ilmuwan Islam terdahulu. Imam Syafie, Imam Ahmad, Imam Ghazali, dan sebagainya. Kalau macam tu, tidak dapatlah masuk syurga kalau pengetahuan sipi-sipi atau sedikit sahaja. :'(
Ada jawapannya.
Ingat tidak tentang seorang hamba Allah bernama Sumaiyah yang syahid bersama keluarganya satu ketika dulu? Orang yang pertama syahid dalam Islam. Itulah dia Sumaiyah. Seorang perempuan yang cukup berani. Beliau bukanlah seorang ahli fiqah. Bukan juga seorang ilmuwan yang luas pengetahuannya tentang Islam. Tapi tahukah kita bahawa Allah menjanjikan syurga untuknya? Kenapa?
KERANA...
'LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH.'
Kerana kalimah itu. Kerana dua kalimah ini saja Sumaiyah dijanjikan syurga. Kenapa? Kerana beliau berpegang pada kalimah itu. Beliau beramal dengan kalimah itu. Beliau sanggup mati untuk mempertahankan kalimah itu.
Jadi boleh disimpulkan, apa yang penting ialah, bukan berapa banyak ilmu pengetahuan yang kita ada tentang Islam, tetapi sejauh mana kita berpegang terhadap apa yang kita pelajari dan berusaha untuk mempertahankannya. Jadi yang masih kurang ilmu macam saya janganlah berduka cita ok :) Tapi itu bukan bermaksud tidak perlu untuk kita meluaskan ilmu pengetahuan tentang Islam. Di mana ada peluang, ambillah peluang itu untuk meluaskan pengetahuan agar kita tahu lebih banyak tentang Allah dan Rasul yang mana boleh menjadikan diri kita lebih dekat padaNya. Tapi jangan sekadar tahu sahaja, perlu juga difahami, diamalkan, dan dipertahankan. INSYAALLAH.
Semoga perkongsian ini membawa manfaat buat kita semua. ASSALAMUALAIKUM.

0 comments:
Post a Comment