BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
Dengan nama ALLAH SWT Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih... Pemilik segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dengan nama Allah, aku menulis.. (ok secara teknikalnya, menaip~kui3x...)
Kali ini dalam entry Islam, aku ingin berkongsi sedikit sebanyak pasal isi usrah yang diikuti baru-baru ini.
Sabda Rasulullah, "Islam bermula dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi sesuatu yang asing. Maka beruntunglah orang-orang yang terasing (Al-Ghuraba) itu," Ditanyakan kepada baginda, siapakah Al-Ghuraba itu?" Rasulullah menjawab, "Orang-orang yang melakukan kebaikan di saat manusia telah rosak (akhlaknya)" - Hadis Riwayat Muslim
Di akhir zaman nanti, akan ada satu kelompok dalam kalangan manusia yang akan menyeru kepada kebaikan. Dan kelompok ini adalah kelompok yang melawan arus. Arus yang dimaksudkan di sini ialah arus duniawi. Mereka akan cuba mempertahankan agama dan berusaha untuk mengajak ke arah kebaikan. Tapi perjuangan ini bukanlah satu perjuangan yang mudah. Cuma orang-orang yang benar-benar cekal dan mahu untuk berjuang akan kekal dalam kelompok ini. Apa yang mereka lakukan akan berbeza daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang biasa. Kelompok ini akan menjadi satu kelompok yang sangat terasing.
Tapi, seperti apa yang dapat kita lihat dalam hadis di atas, beruntunglah orang-orang yang terasing itu. Mungkin mereka terasing dari segi pemakaian, di mana dapat kita lihat rata-rata masyarakat Islam pada hari ini (mungkin termasuk saya sendiri) tidak menutup aurat dengan sempurna, tapi kelompok yang disebutkan berusaha untuk memeliharanya dengan sempurna. Di saat kita semua masih leka dengan duniawi, mereka ini sudah menyiapkan bekalan untuk hari kemudian nanti. Di saat kita merisaukan persepsi manusia terhadap kita, mereka lebih memikirkan redha dan murka Allah atas perlakuan mereka. MasyaAllah...
Indahnya. akhlak itu. Aku berharap agar aku dapat menjadi seperti mereka.Aku cemburu dengan mereka. Aku mahu menjadi seperti mereka. Tapi.. mampukah aku?
Bila difikirkan, kadang-kadang aku rasa sedih. Sedih sebab aku tidak mampu untuk menjadi sekuat orang-orang sekelilingku yang menerima hidayah Allah. Sedih sebab tidak mampu untuk menjadi secekal mereka. Tidak mampu untuk menjadi berani seperti beraninya mereka dalam mengangkat martabat agama Allah. Tidak mampu untuk melakukan banyak perubahan seperti banyaknya perubahan yang mereka lakukan.
Aku malu.
Malu bila memikirkan betapa sedikitnya usaha yang aku lakukan di jalan Allah.
Tapi, satu hal yang tidak akan aku lupakan. Hidayah itu, tidak datang, kalau tidak dicari. Oleh itu, fikirku, walau seringan mana pun usaha yang aku lakukan, aku berharap agar usaha itu dapat memandu aku ke arah hidayah itu. Moga Allah akan terus menyalakan niatku dan niat kita semua untuk mencari cahaya itu.
Aku tahu aku bukan ustazah.
Aku tidak mengambil kursus pengajaran di IPG untuk menjadi guru agama.
Bapaku bukan seorang ustaz.
Aku bukan dibesarkan dalam keluarga yang sangat dalam pengetahuan agamanya.
Aku tidak mempunyai latar berlakang sekolah agama.
Aku bukan qariah yang boleh mengalunkan irama merdu apabila memperdengarkan bacaan Al-Quran.
Aku bukanlah orang yang serba-serbi tahu pasal hukum agama.
Dan dengan menulis post sebegini, tidak sekali-kali aku berfikir bahawa aku lebih tahu.
Aku cumalah seorang hamba Allah, yang menulis, untuk berkongsi apa yang diberitahukan kepadaku. Untuk berkongsi ilmu yang dipelajari. Dengan harapan bahawa perkongsian ini akan selalu membuat aku untuk muhasabah diri dan menilai diriku sendiri, bahawa sebagai seorang manusia, aku tidak akan lepas dari melakukan kesalahan. Dan semoga dengan teguran rakan-rakan semua, dapat menjadikan aku lebih baik daripada sebelumnya. Aku tahu aku tidak sempurna. Kalau ada yang tidak kena pada diriku. maka tegur dan perbetulkanlah. Jangan biarkan aku terus melakukan apa yang tidak sepatutnya aku lakukan. Mungkin aku tidak selalu sedar bahawa apa yang aku lakukan itu salah. Aku juga manusia biasa. Dan fitrahnya itu akan mudah terleka dan terlupa.
Dikisahkan dalam Al-Quran, sebelum zaman Rasulullah SAW, di mana Allah SWT telah menurunkan perintah kepada Bani Israil untuk mengkhususkan hari Sabtu sebagai hari untuk beribadah dan sama sekali dilarang untuk bekerja pada hari tersebut. Salah satu daripada pekerjaan Bani Israil pada masa itu ialah menangkap ikan dan sudah tentu dalam konteks ini, tangkapan ikan adalah tidak dibenarkan pda hari Sabtu. Dikisahkan pula terdapat satu kelompok dalam Bani Israil ini yang telah memikirkan cara untuk mendapatkan hasil tangkapan ikan pada hari Sabtu tanpa bekerja pada hari itu sedangkan Allah SWT melarang untuk berbuat demikian. Mereka telah memikirkan cara untuk meletakkan pukat pada hari Jumaat dan membiarkannya sehingga hari Ahad. Ini bermakna walaupun mereka tidak bekerja pada hari Sabtu, tapi mereka masih memperoleh hasil untuk hari tersebut.
Lihatlah melalui perbuatan ini, mereka cuba untuk tawar-menawar dengan hukum Allah. Sedangkan Allah sudah meletakkan hukum sejelas-jelasnya. Terdapat 3 golongan yang disebutkan dalam kisah ini:
- Golongan yang melakukan perbuatan tersebut
- Golongan yang menegur golongan pertama. "Kenapa kau buat begitu? Bukankah hukum Allah itu sudah jelas mengatakan tidak boleh.
- Golongan yang tidak kisah dengan golongan pertama dan berkata dengan golongan kedua, "Kenapa kamu tegur mereka, suka hati diorang la. Kubur pun lain-lain kan. <----- ini ayat contoh untuk menunjukkan situasi.
Dan hasil daripada cerita tadi, diterangkan dalam Al-Quran bahawa kaum yang pertama telah dihukum oleh Allah menjadi sekumpulan kera. Golongan yang kedua pula mendapat balasan syurga kelak. Golongan ketiga pula, tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada mereka.
Tidak disebutkan walau satu patah perkataan pun terhadap apa yang terjadi kepada golongan ketiga tadi dalam Al-Quran. Tidak disebut LANGSUNG.
Cuba kita bayangkan, kalau ibu kita tanya semua khabar adik-adik kita tapi langsung tidak tanya pasal kita.
Cuba kita bayangkan, kalau ayah kita bercerita dengan orang tentang semua anak-anak dia yang lain, tapi tidak sebut langsung pasal kita.
Rasa-rasanya, apa perasaan kita? Apa kita rasa tentang ibu bapa kita?
Mereka tidak sayang kita kan?
Mereka lebih pentingkan anak-anak yang lain kan?
Mereka tidak peduli pasal kita kan?
Bayangkanlah kalau Allah yang tidak peduli dengan kita....
NAUZUBILLAH...
Semoga kisah ini dapat kita jadikan pengajaran dan teladan untuk sama-sama kita perbaiki diri dan saling ingat-mengingati. Semoga kita terhindar daripada menjadi golongan yang pertama dan ketiga sebentar tadi. InsyaAllah...
0 comments:
Post a Comment